Selasa, 13 Disember 2016

Azman kembali ke KL

ARKIB : 09/12/1999
BINTANG bola sepak kebangsaan, Azman Adnan hampir pasti menyarung kembali jersi Kuala Lumpur musim depan dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kini hanya menunggu 'lampu hijau' daripada majikan penyerang berusia 29 tahun itu, Pulau Pinang.

Setiausaha Agung KLFA, K. Rasalingam berkata, rundingan telah dibuat dengan Azman beberapa minggu lalu dan penjaring terbanyak Perdana Satu itu menyatakan kesediaannya untuk kembali ke Kuala Lumpur.

''Tetapi dia tidak menyatakan persetujuan secara rasmi kerana dia masih terikat kontrak dengan Pulau Pinang.

''Apa pun, kita akan cuba terus berunding dengan pemain itu,'' katanya.

KLFA akan diswastakan menjelang musim baru Liga Malaysia musim depan. Sebuah syarikat tempatan, Petra Group telah menyatakan kesanggupan untuk menaja pasukan itu dengan jumlah tajaan sehingga tujuh angka untuk tempoh dua tahun.

Penglibatan Petra Group adalah termasuk pembangunan bola sepak Kuala Lumpur di peringkat junior selain menumpukan perhatian kepada pasukan senior.

Langkah pertama Kuala Lumpur adalah memikat pemain-pemain berwibawa dan sasaran utamanya ialah Azman selain pemain penyerang Negeri Sembilan, Zami Mohd. Noor dan B. Rajinikandh.

''Kita sebenarnya tidak pasti akan mendapat khidmat Azman atau pemain lain itu tetapi kita akan teruskan rundingan,'' tambah Rasalingam.

Menurutnya, jika Azman bersetuju ke Kuala Lumpur, gaji pemain itu kemungkinan besar sama dengan yang diterimanya ketika beraksi dengan pasukan Pulau Pinang.

''Tetapi dia mungkin akan mendapat sedikit imbuhan lain,'' ujar Rasalingam.

Difahamkan, Azman mendapat gaji antara RM10,000 hingga RM12,000 di Pulau Pinang.

Karier Azman bermula di Kuala Lumpur dan sewaktu mewakili skuad yang ketika itu dibimbing jurulatih Chow Kwai Lam, dia pernah dilabel sebagai pemain berharga RM1 juta selain menjadi aset utama pasukan kebangsaan.

Selepas menabur bakti kira-kira dua musim bersama Kuala Lumpur, Azman berhijrah ke Selangor dan dia menjadi bintang kesayangan pasukan Red Giants apabila membawa pasukan itu muncul juara Piala Malaysia tiga kali berturut-turut (1995-1997).

Begitu pun, kemerosotan mendadak pasukan Selangor pada 1998 sehingga tergelincir ke Perdana Dua, menyebabkan penyerang itu berhijrah bersama beberapa pemain lain untuk menyertai Pulau Pinang - juara Perdana Satu 1998.

Namun, Azman gagal membawa majikan barunya itu ke mercu kejayaan apabila sekadar mampu membantu pasukan itu muncul naib juara Perdana Satu dan gagal meletakkan Pulau Pinang di peringkat terbaik dalam Piala Malaysia.

Pulau Pinang menamatkan cabaran kumpulan A Piala Malaysia di tangga paling bawah.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SileGxFa © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan