Isnin, 19 Disember 2016

Kuala Lumpur sekat kemaraan N. Sembilan

ARKIB : 23/04/2000
SEKALI lagi, Kuala Lumpur mempamerkan aksi menarik dalam bola sepak Liga Perdana Satu, apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit untuk mencatat seri 3-3 dengan Negeri Sembilan di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi sepakan penalti M. Eswaran pada minit ke-23 tetapi babak pertama tamat dengan Kuala Lumpur ketinggalan 3-1 hasil jaringan Khairul Anuar Baharum minit ke-37 dan dua sentuhan Azman Adnan minit ke-42 dan 45.

Tetapi Azali Mat Jusoh menghidupkan semula perjuangan pasukan pada babak kedua menerusi rembatan kencangnya untuk gol kedua Kuala Lumpur minit ke-66 sebelum Azlan Hussain menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Kuala Lumpur dalam enam perlawanan berturut-turut dalam liga dan Piala FA.

Aksi baik pasukan tuan rumah pada awal permainan dengan kejutan dua percubaan dalam tempoh tiga minit pertama menerusi Mohd. Farid Dewan dan Mohd. Nizaruddin Yusof menampakkan kesungguhan Kuala Lumpur untuk terus mencatat kejayaan.

Tetapi gol pertama hanya hadir selepas 23 minit permainan apabila sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Kuala Lumpur selepas Nizaruddin dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Khairul, tidak disia-siakan pemain tengah, Eswaran.

Namun, ketika Kuala Lumpur ghairah untuk menambah jaringan, Khairul menebus kesilapannya pada minit ke-37 untuk gol penyamaan menerusi sepakan percuma terus ke gawang, mengelirukan Shaharuddin yang terpaku di depan pintu golnya.

Dan dua kesilapan Shaharuddin ketika perlawanan babak pertama berbaki lima minit digunakan sebaiknya oleh Azman. Ketika penjaga gol itu meluru keluar untuk menyekat satu hantaran jauh, Azmi Mohamed lebih dulu menanduk bola sebelum disambung Azman menanduk masuk ke gawang yang kosong minit ke-42.

Tiga minit kemudian, Shaharuddin sekali lagi keluar dari gawangnya untuk cuba menangkap bola hantaran jauh tetapi salah faham dengan S. Jayaprakash menyaksikan bola singgah ke kaki Azman yang mudah menolak ke gawang untuk gol ketiga Negeri Sembilan.

Menyedari kepayahan aksi Shaharuddin, jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris mengeluarkannya pada babak kedua menggantikan Kamarul Idham Amiruddin.

Dan Kuala Lumpur yang sedar mereka ketinggalan, berusaha keras merapatkan kedudukan dan usaha mereka berjaya pada minit ke-66. Nizaruddin melorongkan bola kepada Azali di luar kotak penalti dan bek kanan itu menyepak kencang menewaskan Hamsani.

Dua minit selepas itu, Azlan meluru ke depan gawang dan melonjak tinggi menanduk masuk gol penyamaan hasil sepakan sudut Shawal Johadi.

KUALA LUMPUR: Shaharuddin Ahmad (Kamarul Idham Amiruddin), M. Karunakaran, Azali Mat Jusoh, Imran Ahmad, S. Jayaprakash, Azlan Hussain, S. Saravanan, Shawal Johadi (Rosle Derus), M. Eswaran (K. Nanthakumar), Mohd. Farid Dewan, Mohd. Nizaruddin Yusof.

NEGERI SEMBILAN: Mohd. Hamsani Ahmad, Nor Hisham Kamaruddin, Khairul Anuar Baharum, Adnan Md. Zin, Leong Hong Seng, Chow Chee Weng, Efendi Malek, Wong Sai Kong, Shukor Adan (Shahrizam Mohd), Azmi Mohamed (Noor Isham Ismail), Azman Adnan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TIcVl2ML © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan